ANALISIS PELAKSANAAN DAN PENCAPAIAN PELAN PEMBANGUNAN PERINGKAT GELOMBANG PERTAMA ( 2013 – 2015 ) KE ARAH MENAMBAH BAIK SISTEM PENDIDIKAN MALAYSIA


Gelombang pertama Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia bermula dari tahun 2013-2015. Pelan ini memberi tumpuan kepada pembinaan asas transformasi dan memberi penekanan kepada menambahbaik sistem dengan mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program. Fokus berkenaan adalah 100% murid menguasai program Literasi dan Numerasi (LINUS) selepas tiga tahun persekolahan, peningkatan enrolman murid dan pengurangan 25% jurang bandar dan luar bandar.



GELOMBANG & ANJAKAN PPPM.

1.       Melaksana program Transformasi Daerah

 

Kementerian mendapati bahawa terdapat korelasi yang tinggi dalam amalan sekolah yang meningkat dengan cepat dan sekolah berprestasi baik. Sebaliknya terdapat perbezaan antara amalan sekolah tersebut dengan sekolah berprestasi rendah.

 

Sekolah berprestasi rendah umumnya bekerja keras dengan bilangan program yang perlu dilaksanakan dan melaporkan bahawa mereka tertekan dan terbeban. Sebaliknya, sekolah yang berprestasi bai, Pengetua mempunyai kefahaman yang kukuh tentang perkara penting untuk sekolah mereka, bertindak tegas dan memberi tumpuan kepada guru dan masyarakat tentang amalan utama yang perlu dilaksanakan.

 

PPD sebagai organisasi yang paling hampir dengan sekolah akan memainkan peranan baharu dalam menyediakan sokongan yang diperlukan oleh sekolah di bawah tadbiran mereka. Program Transformasi Daerah melibatkan empat perkara yang melibatkan sokongan dan akauntabiliti.

 




Program Transformasi Daerah yang melibatkan sokongan iaitu :

 

-          Mengupaya kepimpinan tempatan

Pertukaran peranan JPN dan PPD memberi tumpuan dalam memberi sokongan kepada sekolah dalam daerah. PPD menjanjikan untuk :

 

i.                    Membantu pemahaman pihak sekolah dalam menghadapi cabaran dan mengetahui punca utama cabaran tersebut

ii.                  Menjadi satu badan penyelesaian masalah yang menyumbang idea untuk menyelesaikan masalah tersebut

iii.                Memberi sokongan dan sasaran sumber kepada pihak sekolah untuk mengatasi cabaran

iv.                 Melindungi sekolah daripada beban urusan pentadbiran untuk membolehkan pihak sekolah meningkatkan prestasi pengajaran dan pembelajaran

v.                   Mengenali dan mengiktiraf amalan baik di sekolah dan menyebarkannya ke seluruh negara

 

 

 

 

-          Memberi sokongan kepada organisasi yang paling memerlukan

Sokongan dan intervensi yang menjurus kepada sekolah didorong oleh daerah dan didaya oleh negeri. Sokongan kepada sekolah daripada PPD kepada guru, pengetua dan murid adalah berdasarkan dua kaedah iaitu penyelesaian rekaan PPD, dan penyelesaian rekaan pusat.

 

Penyelesaian rekaan PPD adalah berkaitan dengan isu-isu yang mempunyai kepelbagaian punca yang tinggi serta memerlukan penyelesaian yang disesuaikan oleh pihak sekolah. Penyelesaian untuk guru ialah jaminan masa pengajaran dengan mengehadkan masa maksimum guru berada diluar sekolah. Manakala penyelesaian untuk pengetua pula ialah komuniti pembelajaran professional yang diketuai oleh seorang pengetua yang teguh. Penyelesaian untuk murid pula ialah melalui intervensi kehadiran dan disiplin murid.

 

Manakala penyelesaian rekaan pusat adalah berkaitan dengan isu-isu yang mempunyai kerumitan yang tinggi dan memerlukan sokongan daripada pusat untuk penyelesaian. Penyelesaian unutk guru ialah pembimbing guru ( SISC+ ) yang akan meningkatkan pengenalan kurikulum baharu dan penilaian, serta membimbing guru mengenai amalan pengajaran asas. Manakala penyelesaian untuk pengetua pula ialan peluasan program rakan sekolah iaitu penambahbaikan melalui peranan SIPartner+ dengan memberi sokongan secara satu per satu terhadap kepimpinan pengajaran. Penyelesaian untuk murid pula melalui LINUS iaitu memperkenalkan program baharu iaitu Literasi Bahasa Inggeris, dan menyemak program Bahasa Melayu iaitu proses dan kandungan pengajaran

 

Program Transformasi Daerah yang melibatkan akauntabiliti ialah :

-          Menambat akses, kualiti dan ekuiti

Hasil matriks berlandaskan akses, kualiti dan ekuiti manakala input matriks berlandaskan penjana untuk meningkatkan kualiti pengajaran. Ranking baharu dilihat pada peringkat nasional, negeri, daerah, sekolah dan murid bagi memastikan KPI terpenting tercapai.

 

-          Disiplin pemantauan, penyelesaian masalah, dan pengambilan tindakan

Dialog pencapaian di semua peringkat adalah untuk memastikan sekolah, daerah dan negeri boleh mencapai sasaran. Dialog pencapaian atau dialog prestasi  merupakan satu forum yang bermula dari peringkat KPM hingga sekolah bagi membincangkan prestasi Pendidikan berdasarkan data dan fakta dan diakhiri dengan satu set tindakan konkrit yang akan dilaksanakan oleh pihak JPN/PPD/Sekolah. Dialog ini merupakan pemantauan daripada pihak atasan kepada pihak bawahan untuk menilai dan memastikan penyampaian berada pada landasan yang betul. Dialog prestasi memastikan bahawa kitaran membuat keputusan yang dipacu oleh data berlaku di semua peringkat

 




2. Melaksanakan KSSR dan Bahasa Malaysia SJK  

 

Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Bahasa Malaysia Sekolah Jenis Kebangsaan direka bentuk untuk murid yang bahasa ibundanya bukan bahasa Malaysia. Kementerian telah melaksanakan KSSR Bahasa Malaysia yang direka bentuk khusus untuk mengajar murid yang bahasa ibundanya bukan bahasa Malaysia dan tidak mendapat pendedahan “immersion” seperti di sekolah kebangsaan. Kurikulum ini menetapkan standard yang sama tetapi mengurangkan bilangan keperluan pembelajaran pada awal tahun pendidikan rendah. Keperluan pembelajaran akan disamakan secara beransur-ansur hingga Tahun 6. Di samping itu, kemahiran guru akan ditingkatkan dalam menyampaikan kurikulum baharu kepada murid yang bahasa ibundanya bukan bahasa Malaysia. Kementerian juga akan menyediakan kelas pemulihan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) bagi murid Tahun 4 hingga Tahun 6 untuk meningkatkan standard bahasa Malaysia mereka ke tahap penguasaan kemahiran yang ditentukan.










3. Mengukuhkan praktikum dalam program Vokasional

Usaha membangunkan laluan vokasional menjadi keutamaan. Kementerian menyedari bahawa usaha yang lebih besar perlu diambil bagi merombak laluan vokasional sedia ada. Kementerian memanfaatkan sumber tambahan dalam Pelan Transformasi Pendidikan Vokasional bagi memastikan pelan ini dapat mencapai aspirasi negara. Kementerian juga akan mula membangunkan dan merintis intervensi untuk laluan pendidikan bagi membantu penambahbaikan dalam bidang seperti pendidikan agama dan pendidikan untuk kumpulan berkeperluan khusus



Peratusan murid lepasan PMR yang meneruskan pengajian vokasional kini mencecah 4.6%, berbanding dengan 4% pada tahun 2012. Kementerian berjaya menambah bilangan Kolej Vokasional (KV) daripada 15 buah kepada 72 buah pada tahun 2013, lantas membuka peluang bagi lebih ramai murid meneruskan pengajian dalam pelbagai bidang vokasional. Kementerian juga menjalinkan kerjasama dengan beberapa Institut Latihan Kemahiran Awam dan Swasta (ILKA dan ILKS) melalui tajaan yuran bagi murid yang ingin meneruskan pengajian dalam kursus yang tidak ditawarkan di KV.





4.  Merombak IPG dan latihan praperkhidmatan

 

Gelombang 1 akan memberi tumpuan kepada peningkatan standard profesional, dan menambah baik sistem sokongan, serta persekitaran kerja. Lima langkah akan diambil:

(i)                 Meningkatkan profl profesion keguruan

(ii)               Meninggikan syarat kelayakan kemasukan untuk ambilan baharu

(iii)             Mengaitkan prestasi dengan kompetensi

(iv)              Meningkatkan peruntukan bagi pembangunan profesional berterusan

(v)                Mengurangkan beban pentadbiran yang dipikul oleh guru.

Secara keseluruhan, langkah ini bertujuan menyediakan peluang dan sokongan yang diperlukan oleh guru bagi menggalakkan peningkatan kemahiran dan kecemerlangan mereka dalam pekerjaan

 

-          Meningkatkan profil profesion keguruan

Kementerian akan memperkukuhkan status profesion keguruan supaya menjadi profesion pilihan. Di Korea Selatan, profesion keguruan adalah pilihan kerjaya paling popular kerana mempunyai status sosial yang tinggi, kesukaran untuk memperoleh sijil mengajar, gaji yang tinggi, dan kestabilan kerjaya. Kementerian berhasrat untuk melaksanakan kempen pemasaran dan pengambilan bersasaran, berfokus kepada mereka yang berprestasi tinggi dan segmen yang mengalami kekurangan tenaga pengajar termasuk bidang seperti Bahasa Inggeris, Sains, dan guru lelaki. Kementerian akan mengadakan jerayawara di sekolah, pameran pendidikan dan iklan TV bersasaran untuk meningkatkan jenama perguruan. Kementerian berhasrat untuk memilih guru pelatih daripada lulusan 30% terbaik dan mungkin mengurangkan saiz ambilan sekiranya kumpulan pemohon pada sesuatu tahun tidak mempunyai kelayakan yang ditetapkan. Kementerian juga akan melaksanakan dasar ini di IPT.

 

-          Mengukuhkan kaitan antara prestasi dengan kompetensi

Penambahbaikan kualiti guru bermula dengan pentakrifan yang jelas tentang kecemerlangan profesion keguruan. Kementerian akan dapat mengenal pasti bidang yang memerlukan sokongan, dan dengan itu dapat menyediakan bantuan yang tepat kepada guru yang memerlukannya. Bagi mencapai tujuan ini, Kementerian akan menyediakan satu instrumen yang menyatakan dengan jelas kompetensi yang perlu dimiliki oleh guru dalam tempoh perkhidmatan yang berbeza, merentas empat dimensi: pengajaran dan pembelajaran, nilai-nilai profesional, aktiviti di luar bilik darjah, dan sumbangan profesional. Instrumen ini akan dirintis pada 2013 dan diguna pakai pada 2014. Kementerian berhasrat menggunakan instrumen ini untuk menggantikan semua instrumen lain yang digunakan pada masa ini, termasuk Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT). Instrumen penilaian guru yang baharu, dicadangkan hampir 60% daripada skor penilaian berdasarkan keberkesanan pengajaran guru. Penilaian ini ditentukan melalui pencerapan guru di dalam bilik darjah serta keberhasilan murid dalam kelas yang diajar oleh guru itu. Kementerian juga mencadangkan penggunaan lebih daripada seorang penilai untuk setiap guru, dan mewujudkan proses rayuan untuk guru yang tidak bersetuju dengan penilaian yang dilakukan terhadap mereka. Objektif penilaian ini adalah untuk mewujudkan suatu pendekatan yang memastikan ketekalan dan keobjektifan keseluruhan penilaian, serta memupuk budaya prestasi cemerlang di sekolah.




-          Meninggikan syarat kelayakan kemasukan untuk ambilan guru baharu

Selaras dengan aspirasi IPG untuk menjadi universiti latihan perguruan bertaraf dunia, Kementerian akan menetapkan standard yang lebih tinggi untuk lulus latihan perguruan dan seterusnya diambil bertugas sebagai guru di bawah Kementerian. Langkah yang serupa akan dilaksanakan di IPT. Pada masa hadapan siswazah akan diambil bekerja hanya setelah mereka dapat menguasai kompetensi minimum yang diharapkan melalui praktikum dan kerja kursus dalam latihan perguruan. Syarat ini adalah untuk memastikan hanya guru yang terbaik dan paling layak menyertai profesion keguruan. Walau bagaimanapun, guru pelatih sedia ada di IPG dan di IPTA tidak terikat dengan dasar baharu ini. Sehingga kini, Kementerian telah mengambil hampir 15,000 guru pelatih setiap tahun. Oleh sebab kekurangan guru secara mutlak bukan lagi menjadi isu, Kementerian sedang meneliti pengurangan ambilan guru pelatih secara berperingkat sehingga 50% dalam tempoh lima tahun akan datang. Dalam masa yang sama, dengan kadar persaraan sedia ada, dijangkakan akan berlaku pengurangan dalam saiz kohort sebanyak 10% menjelang 2025. Kementerian akan memantau perubahan saiz bilangan guru yang berada dalam sistem bagi memastikan apa-apa pengurangan ambilan guru baharu tidak akan menjejaskan saiz kelas atau keberhasilan murid.


5. Melaksanakan 1BestariNet

 

Projek Perkhidmatan 1BestariNet (1BestariNet) merupakan satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama YTL Communications Sdn. Bhd. untuk menggantikan dan menambah baik sistem rangkaian ICT di sekolah-sekolah. Ia adalah suatu penambahbaikan kepada perkhidmatan SchoolNet yang telah tamat pada 31 Disember 2010 dengan menekankan aspek perkhidmatan rangkaian end to end solutions (E2E) dan Virtual Learning Environment (VLE). Projek ini melibatkan 10,000 buah sekolah yang dilengkapi dengan akses internet berkelajuan tinggi dan platform pembelajaran maya yang mengaplikasikan jaringan internet berkelajuan tinggi serta akses kepada penyelesaian pendidikan bersepadu bertaraf dunia. 1BestariNet akan mengubah platform pendidikan di Malaysia serta merapatkan jurang digital di antara murid di kawasan bandar dan luar bandar dengan menyediakan pendidikan berteraskan internet yang berkualiti kepada semua rakyat Malaysia. Inisiatif Kerajaan ini bakal menjadikan Malaysia negara pertama di dunia yang dilengkapi dengan akses internet mudah alih 4G dan VLE sedia ada di semua sekolah seluruh Malaysia. 1BestariNet mempunyai impak sebagai pemangkin utama kepada penembusan internet serta unjuran dalam peningkatan pendapatan negara.

 

Atas persetujuan Unit Perancang Ekonomi ( EPU ), anggaran peruntukan untuk 1BestariNet bagi tempoh:

-          5 tahun pertama berjumlah RM347 juta setahun (RM1.735 billion)

-          5 tahun kedua berjumlah RM295 juta setahun (RM1.475 billion)

-          5 tahun ketiga berjumlah RM251 juta setahun (RM1.255 billion)

-          Secara kesuluruhannya, RM4.465 billion bagi tempoh 15 tahun

 

Namun, terdapat beberapa hasil perbincangan dan penemuan daripada PAC Parlimen setelah meneliti isu-isu perkhidmatan 1BestariNet seperti berikut :

·         Kelewatan Penyambungan Internet

Penyambungan capaian internet ke 4,176 buah sekolah lewat disiapkan antara 12 hingga 439 hari daripada tempoh pelaksanaan yang telah ditetapkan iaitu 30 Mac 2013. Selain itu, tiada kelulusan lanjutan masa diberikan dan tiada denda lewat dikenakan  kepada kontraktor oleh KPM walaupun telah melepasi tempoh pemasangan yang ditetapkan.

 

·         Tahap Penggunaan VLE Yang Rendah

Di bawah 1BestariNet, sekolah-sekolah dilengkapi dengan penyelesaian bersepadu yang membolehkan pengajaran, pembelajaran, kolaborasi dan pengurusan pentadbiran dijalankan di internet melalui ‘Frog VLE’, yang boleh diakses di sekolah atau di mana-mana sahaja tempat yang mempunyai capaian internet. Kos kesuluruhan VLE adalah berjumlah RM513.31 juta yang terdiri daripada lessen aplikasi VLE sejumlah RM250 juta serta pengurusan dan penyenggaraan VLE sejumlah RM262.81 juta selama dua tahun enam bulan.

 

Hasil analisis terhadap penggunaan VLE berdasarkan login pelajar, guru dan ibu bapa di seluruh Malaysia bagi tempoh 1 Mac hingga 30 Mac 2014 mendapati penggunaan VLE adalah amat rendah seperti berikut :

Ø  Pelajar antara 0.17% hingga 0.63%

Ø  Guru antara 0.57% hingga 4.69%

Ø  Ibu bapa antara 0.01% hingga 0.03%


6. Meningkatkan enrolmen prasekolah dan sekolah menengah

Kementerian akan memastikan setiap kanak-kanak mempunyai peluang yang sama untuk mendapatkan pendidikan tanpa mengira latar belakang etnik, status sosioekonomi atau lokasi. Matlamat ini akan dapat dicapai melalui usaha meningkatkan enrolmen bagi memastikan pencapaian akses sejagat pada peringkat prasekolah, pendidikan rendah, menengah rendah dan menengah atas.

 

Langkah yang akan diambil termasuk:

·         Memastikan fasa dan tempoh pendidikan setara dengan amalan sistem pendidikan berprestasi tinggi

·         Memperluas akses dan meningkatkan enrolmen pada peringkat prasekolah

·         Menggunakan pendekatan yang lebih berfokus, memberi bantuan kewangan berasaskan keperluan dan menyedia bentuk bantuan lain bagi menangani isu murid tidak berdaftar dan murid berisiko tercicir daripada sistem pendidikan.




Kementerian akan memberikan tumpuan ke arah meningkatkan enrolmen dan menambah baik kualiti prasekolah secara serentak dalam Gelombang 1. Walaupun pendidikan prasekolah tidak akan diwajibkan, Kementerian akan mengurangkan halangan kepada akses bagi menggalakkan enrolmen dan kehadiran pada peringkat prasekolah. Usaha ini melibatkan peningkatan kesedaran dalam kalangan ibu bapa tentang kepentingan pendidikan prasekolah dan juga penyediaan bantuan kewangan kepada keluarga berpendapatan rendah. Pendapatan minimum bagi mendapatkan bantuan yuran akan disemak semula bagi menyokong usaha meningkatkan kehadiran murid. Pendekatan sebegini berupaya menggalakkan peningkatan enrolmen secara berkesan seperti dibuktikan oleh sistem pendidikan berprestasi tinggi yang lain seperti di Singapura dan Finland yang berjaya menghampiri tahap enrolmen sejagat bagi prasekolah 




Selari dengan inisiatif prasekolah NKRA sedia ada yang menjurus ke arah meningkatkan enrolmen, Kementerian akan bekerjasama dengan sektor swasta bagi memastikan terdapat tempat yang mencukupi untuk menampung peningkatan permintaan. Sektor swasta diharap dapat membantu dalam pencapaian sasaran enrolmen dengan jangkaan sebanyak 70% daripada penubuhan prasekolah baharu dioperasikan oleh pihak swasta. Menjelang tahun 2020, 50% pusat pendidikan prasekolah akan diusahakan oleh sektor swasta. Bagi menyokong pertumbuhan prasekolah swasta, Kementerian akan menaikkan kadar bantuan yuran, geran pelancaran dan keutamaan pinjaman bagi pembukaan dan peluasan pusat prasekolah.

Kementerian juga sedar cabaran yang dihadapi dalam mengekalkan dan meningkatkan kualiti prasekolah sepanjang tempoh peluasan tersebut. Kementerian akan meneliti semula geran per kapita bagi membolehkan prasekolah menawarkan aktiviti kokurikulum yang lebih luas untuk kerajaan meningkatkan kualiti murid. Garis panduan akan disediakan bagi membantu prasekolah kerajaan merancang aktiviti kokurikulum yang bersesuaian untuk murid. Kementerian juga akan mengkaji semula geran bantuan makanan tambahan bagi memastikan murid mendapat makanan berkhasiat yang dapat membantu perkembangan kognitif semasa tempoh penting tumbesaran kanak-kanak. Inisiatif ini akan dilaksanakan bermula pada pertengahan tahun 2013.



 

 

7. Mentransformasi Kementerian

 

Kementerian Pelajaran memainkan peranan utama dalam menyediakan kepimpinan, hala tuju dasar, dan sokongan yang diperlukan dalam usaha meningkatkan sistem pendidikan Malaysia. Di samping mendukung harapan dan aspirasi rakyat serta berdepan dengan cabaran yang mendatang, Kementerian perlu mentransformasikan susunan bahagian-bahagiannya serta cara beroperasi bagi merapatkan jurang antara pembentukan dasar dan keupayaan pelaksanaan.

Kementerian akan memastikan pihaknya mempunyai kebolehan dan keupayaan menyediakan pelbagai jenis dan peringkat sokongan yang sesuai kepada sekolah dan pelajar. Usaha ini memerlukan suatu transformasi utama dalam organisasi Kementerian dalam membangunkan JPN dan PPD, yang keadaanya lebih hampir dengan sekolah, dan lebih sesuai untuk memenuhi keperluan khusus pihak sekolah.

Langkah yang akan diambil termasuk:

·         Menjajar semula peranan dan tanggungjawab setiap peringkat Kementerian bagi membolehkan pengkhususan organisasi dan saluran penyampaian yang lebih jelas ke setiap sekolah

·         Memberi lebih kuasa dan kebertanggungjawaban kepada pihak JPN dan PPD dalam menjalankan peranan yang semakin bertambah bagi menyokong pihak sekolah

·         Mengukuhkan fungsi teras di peringkat Kementerian.

 

-          Menetapkan semula peranan dan mengukuhkan JPN dan PPD

Transformasi yang kompleks dan menyeluruh ini memerlukan penambahbaikan asas dalam keupayaan dan kebolehan Kementerian untuk melaksanakan dasar dan program. Justeru, Gelombang 1 perlu menggabungkan perancangan jangka panjang tentang struktur dan fungsi yang dihasratkan, dan langkah jangka pendek untuk meningkatkan peranan PPD yang bertanggungjawab mempercepatkan peningkatan prestasi sekolah melalui inisiatif peringkat daerah yang sistematik.

 

-          Membangunkan visi yang jelas

Kerjasama dengan agensi pusat, khususnya JPA akan dilakukan bagi menentukan dengan jelas organisasi Kementerian yang akan distrukturkan semula. Perkara ini merangkumi bukan sahaja peranan, struktur organisasi, serta bilangan pegawai di peringkat pusat, negeri dan daerah, tetapi juga perincian tentang cara pelaksanaan ini akan beralih kepada gelombang seterusnya. Pada penghujung tahun 2013, pelan akhir akan dipersetujui oleh pihak berkaitan dan pelaksanaannya berkuat kuasa pada tahun 2014.

 

-          Menghalusi peranan dan tanggungjawab di peringkat pusat, negeri dan daerah

Skop peranan JPN dan PPD pada masa ini adalah setara dengan peranan di peringkat Kementerian. Struktur ini mengakibatkan pertindihan fungsi di pelbagai peringkat dan kadangkala Kementerian atau JPN mengeluarkan arahan terus ke peringkat sekolah tanpa melalui PPD. Pelaksanaan tanggungjawab secara umum ini menampakkan seolah-olah tidak ada pengkhususan dan tumpuan dalam pelbagai fungsi Kementerian dan organisasi di bawahnya. Contohnya, pegawai jaminan kualiti di PPD bukan sahaja bertanggungjawab terhadap kualiti pengajaran guru, dan mengurus latihan bagi pengetua/guru besar tetapi pada masa yang sama menguruskan kelayakan International Organisation of Standardisation (ISO) di sekolah.

Kementerian akan menyemak semula peranan dan tanggungjawab sedia ada bagi menyediakan saluran penyampaian yang lebih jelas dari peringkat pusat ke peringkat sekolah. Peranan dan tanggungjawab yang dicadangkan ini akan dirintis pada tahun 2013 di negeri Kedah dan Sabah, seiring dengan Program Transformasi Daerah serta pelan pembangunan pendidikan yang lebih meluas. Sebaik sahaja diluluskan oleh JPA, pelaksanaan program transformasi daerah ini akan diperluas pada tahun 2014. Peranan dan tanggungjawab yang dicadangkan bagi setiap peringkat adalah seperti yang berikut:

 

v  Kementerian: Akan mengekalkan fungsinya dalam perancangan makro dan penggubalan dasar

 

v  JPN: Akan memberi tumpuan kepada penyelarasan dan penyampaian segala perancangan, serta menjadi penghubung yang penting antara penggubal dasar dan pelaksana di peringkat bawah. JPN akan dapat mengemas kini pelaksanaan program dan inisiatif berdasarkan keperluan daerah dalam negeri tersebut. JPN juga akan bertanggungjawab memantau kemajuan setiap PPD dan menggalakkan kerjasama dan perkongsian amalan terbaik di seluruh daerah. Seterusnya, JPN akan berurusan dengan pihak berkepentingan di peringkat Kementerian dan peringkat negeri untuk menyelaraskan sumber untuk memastikan impak yang lebih berkesan.

 

 

v  PPD: Akan bertindak sebagai rakan pembantu dan pemantau sekolah selari dengan Program Transformasi Daerah. PPD perlu mempunyai kebolehan untuk menganalisis data sekolah, mengesan punca masalah dan mereka bentuk pelbagai bantuan dan sokongan kepada sekolah. PPD juga akan membantu sekolah untuk melibatkan ibu bapa dan seluruh masyarakat bagi memaksimumkan impak pelaksanaan. Paling penting, sebagai saluran komunikasi utama kepada sekolah, PPD akan menyepadukan kesemua arahan daripada Kementerian dan JPN. Ini dapat mengurangkan karenah birokrasi serta ketidaksampaian maklumat.

 

Kementerian akan mengemas kini dan menjelaskan hak membuat keputusan antara Kementerian, JPN, PPD dan sekolah berdasarkan peranan dan tanggungjawab yang baharu ini. Hak yang dicadangkan ini termasuklah memberi kuasa kepada JPN dan PPD membuat keputusan dalam bidang tertentu seperti penempatan pengetua/guru besar. Contohnya, sebelum ini, permohonan pertukaran pengetua/guru besar memerlukan pengesahan terakhir di peringkat Kementerian. Dengan sistem yang baharu ini, pihak PPD dibenarkan untuk meluluskan pertukaran dalam daerah dan JPN pula boleh meluluskan pertukaran antara daerah dalam negeri tersebut, manakala Kementerian masih mempunyai kuasa meluluskan pertukaran antara negeri. Kuasa membuat keputusan yang diberi ini akan diseimbangkan dengan rasa kebertanggungjawaban yang tinggi dalam kalangan JPN dan PPD bagi memastikan prestasi yang disasarkan tercapai.


8. Memperluas LINUS & penguasaan Bahasa Inggeris

 

Kementerian berhasrat memastikan murid menguasai kecekapan dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris. Langkah yang akan diambil termasuklah:

v  Menggunakan satu kurikulum dan pentaksiran untuk Bahasa Malaysia di semua sekolah

v  Memperkenal LINUS 2.0 dan memperkembang skop untuk menangani literasi bahasa Inggeris

v  Meningkatkan penyampaian mata pelajaran Bahasa Inggeris, contohnya melalui Program Kecekapan Lisan Bahasa Inggeris untuk Sekolah Menengah (OPS English) ataupun pengajaran sistem set, iaitu murid dikumpulkan mengikut tahap kemahiran berbahasa mereka

v  Menggiatkan ujian dan meningkatkan kemahiran guru bahasa Inggeris

v  Memperkenal intervensi pemulihan dan sokongan bagi bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris kepada murid yang mengalami kesukaran menguasai kemahiran yang ditetapkan

 

-          Memperkenal LINUS 2.0 dan meluaskan skop untuk literasi Bahasa Inggeris

Dasar semasa Kementerian untuk sokongan pemulihan jelas menyatakan bahawa mana-mana murid yang menghadapi masalah untuk menguasai kemahiran membaca, menulis, dan mengira mesti menerima bantuan yang sewajarnya bagi membolehkan mereka berada di platform yang sama dengan rakan sebaya. LINUS 1.0 dilaksanakan pada tahun 2010 untuk menangani isu literasi bahasa Malaysia dan numerasi dalam kalangan murid Tahap 1 sekolah rendah. Program ini menunjukkan kejayaan yang menggalakkan kerana terdapat peningkatan literasi bahasa Malaysia daripada 87% kepada 98%, dan numerasi daripada 76% kepada 99% dalam kohort rintis. LINUS 2.0 akan dibentuk berdasarkan kejayaan LINUS 1.0 untuk menangani isu literasi bahasa Inggeris serta literasi bahasa Malaysia, dan isu numerasi. Murid yang ketinggalan akan dikumpulkan di dalam kelas yang tertentu dan diajar berdasarkan keperluan mereka. Guru yang mengajar murid ini akan menerima latihan khusus bagi memastikan mereka dapat mengaplikasi strategi terbaik yang dapat membantu murid ini menguasai kemahiran yang dikehendaki dan akan diserapkan semula dalam kurikulum arus perdana.

 

9. Mewujudkan pembimbing pengetua sekolah Band 5, 6, 7

Kementerian menempatkan pembimbing guru dan pengetua/guru besar ( SISC+ dan SIPartners+ ) di sekolah dalam Band 5, 6, 7 yang kebanyakannya adalah sekolah luar bandar. Kementerian juga sedang mengkaji kaedah bagi menggalakkan lebih ramai guru dan pengetua/guru besar berprestasi tinggi berkhidmat di sekolah luar bandar.

 

-          Menempatkan SISC+ dan SIPartners+ sepenuh masa

Tindakan lain yang perlu diusahakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan ini ialah pemilihan dan penempatan pembimbing guru (SISC+) dan pembimbing pengetua/guru besar (SIPartners+) sepenuh masa di peringkat PPD

Dengan mewujudkan jawatan sepenuh masa di PPD, pembimbing akan dapat memberikan tumpuan penuh kepada tugas sebagai mentor dan membina hubungan yang kukuh dengan guru dan pengetua/guru besar. Jenis sokongan yang diberikan oleh SISC+ dan SIPartners+ akan disesuaikan mengikut tahap prestasi sekolah tersebut.

Pada awal 2013, lebih 350 SISC+ ( dengan tumpuan awal kepada Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Matematik ), dan SIPartners+ dijangka dapat ditempatkan bagi membantu kajian rintis Program Transformasi Daerah di Kedah dan Sabah. Menjelang 2015, hampir 2,500 SISC+ dan SIPartners+ dijangka akan ditempatkan di semua daerah seluruh negara


10. Membina soalan peperiksaan berelemen Kemahiran Berfikir Aras Tinggi

 

-          KBAT DALAM PENTAKSIRAN PUSAT DAN PEPERIKSAAN

Laporan PPPM menyatakan, soalan peperiksaan UPSR dan SPM tidak memberi tumpuan yang mencukupi untuk soalan aras tinggi, sebaliknya murid banyak diuji dengan soalan di tahap pemikiran tahu dan faham. Keadaan ini secara tidak langsung mempengaruhi guru menyediakan soalan dan aktiviti pdp yang lebih kepada penghafalan.

 

Senario ini perlu diubah supaya guru dapat memberi tumpuan kepada soalan-soalan aras tinggi. Ke arah itu, peratus soalan KBAT dalam peperiksaan pusat UPSR dan SPM akan ditingkatkan secara berperingkat



Pentaksiran KBAT di sekolah mestilah dilaksanakan secara terancang melalui PS, PP dan peperiksaan. Bagi memastikan pelaksanaan pentaksiran KBAT yang berkesan, guru hendaklah melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran berkaitan

Justeru, guru perlu bersedia untuk membuat pembaharuan, bersikap terbuka untuk membuat perubahan dan menerima pandangan orang lain serta berintegriti

Guru perlu mempunyai perspektif baharu dalam pentaksiran untuk menjayakan program pendidikan yang tidak semata-mata berfokuskan peperiksaan bagi melahirkan murid yang berdaya fikir aras tinggi untuk menyelesaikan masalah, membuat keputusan, berinovasi dan berpaya mencipta sesuatu


11.      Meningkatkan standard pengajaran

 

-          Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

memperkenalkan satu Pakej KerjayaGuru baru dalam usaha memartabatkan keguruan sebagai profesion pilihan termasuk kaedahmemberi ganjaran sepanjang tempoh kerjaya sebagai guru. Menurut laporan awal PelanPembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, gelombang pertama (2013-2015) memberifokus kepada meningkatkan standard profesionalisme guru.

 

Hala tuju pendidikan negara yang telah dirangka oleh Kementerian PelajaranMalaysia telah menggariskan satu matlamat iaitu untuk menjadikan pendidikan di Malaysiasebagai pendidikan bertaraf dunia. Mampukah kita bergerak ke arah menjadikan sistempendidikan di negara ini sebagai pendidikan bertaraf dunia? Sebenarnya perkara ini bukanlahmustahil untuk dicapai jika kita mempunyai kakitangan guru yang kompeten dan komitedterhadap profesionnya


Cabaran kepada guru dalam pendidikan kini merangkumi usaha melengkapkan diri dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, menangani masalahdisiplin dan gejala sosial, pengurusan sekolah yang berkesan, harapan menggunung masyarakat dan banyak lagi. Oleh itu, para guru hendaklah terdiri dari golongan yangkuat semangat perjuangannya dan bersedia untuk mengadaptasi diri dengan perubahan yang berlaku begitu pantas masa kini. Persoalannya, adakah tahap guru Malaysia cukup kompeten dalam menangani cabaran-cabaran ini ? Adakah beberapaperubahan dalam skim perkhidmatan dan kejayaan yang dicapai dalam duniapendidikan mahupun kekurangan yang sering menjadi isu dapat memberikan petunjuk kepada tahap kompetensi guru Malaysia ?

Guru-guru di Malaysia amat bertuah kerana kerajaan Malaysia begitu prihatin dansentiasa memberikan fokus terhadap kemajuan dan kebajikan perkhidmatan mereka. Ini jelasdilihat dari usaha pengemaskinian Skim Perkhidmatan Pendidikan sebanyak sembilan kalidi bawah empat laporan semakan gaji seperti berikut.

v  Suruhanjaya Diraja mengenai Perkhidmatan Perguruan Malaysia Barat(Suruhanjaya Gaji Aziz 1971)

v  Laporan Jawatankuasa Khas Gaji Kabinet (JKK) 1976.

v  Laporan Sistem Saraan Baru (SSB) 1991

v  Laporan Sistem Saraan Malaysia (SSM) 2002. (Bahagian Sumber Manusia KPM2004)

PPPM telah menggariskan lima hasil ingin yang dicapai iaitu akses, kualiti, perpaduan dan kecekapan. Ekoran daripada itu, PPPM telah menekankan beberapa objektif yang perlu dicapai dan salah satu daripadanya ialah meningkatkan kualiti guru. Menerusi inisiatif kementerian menilai prestasi guru melalui PBPPP jelas dapat merubah stigma negatif guru-guru terhadap berlakunya bias. Pelaksanaan ini mampu menghasilkan guru yang kompeten terhadap semua aspek penilaian yang dibuktikan berdasarkan eviden yang diberikan. Keberhasilan tersebut sekurang-kurangnya dapat melahirkan guru berkualiti bersesuaian dengan kompetensi masing-masing. Namun daripada kajian yang dijalankan hasil yang didapati adalah sebaliknya yang mana PBPPP telah mewujudkan ketidaksamarataan dan bias dalam penilaian serta penambahan dalam tugasan guru. Jika dibuat perbandingan guru zaman kolonial dengan guru kini amat jauh berbeza dari segi kualitinya. Guru dahulu hanya menumpukan sepenuh perhatian terhadap core business mereka iaitu mengajar namun guru kini lebih banyak menghabiskan masa menguruskan data, fail, rekod dan laporan, menguruskan pelbagai pertandingan kurikulum dan kokurikulum serta program akademik dan bukan akademik di luar sekolah. Guru kelas pula dibebankan dengan pelbagai kerja perkeranian seperti sistem kemasukan data yang menyebabkan masa guru untuk tujuan persediaan alat bantu mengajar dan rancangan mengajar serta menyemak buku latihan pelajar. Kesemua tugasan tambahan yang diberikan kepada guru ini telah mengganggu tahap fokus guru terhadap core business seorang guru. Tugasan yang ditanggung oleh guru ini mendatangkan pelbagai implikasi yang negatif kepada guru dan juga bidang pendidikan. Keadaan ini tidak seiring dengan PPPM yang ingin memartabatkan taraf pendidikan dan memperkasakan kualiti guru-guru di Malaysia


12.      Mengukuhkan kualiti Pendidikan STEM


Istilah STEM ini bermula pada awal tahun 90-an di Amerika Syarikat dalam polisi-polisi kerajaan Amerika Syarikat; (Koehler, C., Binns, I. C. & Bloom 2015). STEM merupakan pendidikan secara bersepadu di Malaysia yang disokong oleh beberapa dasar. 

Dasar yang pertama ialah dasar 60:40 (Sains/Teknikal : Sastera) yang telah mula dilaksanakan pada tahun 1970 dengan matlamat utama iaitu menyediakan lebih ramai murid yang berkelayakan serta dapat meneruskan pengajian di peringkat tertiari dalam bidang Sains dan Teknologi (S&T). Dasar ini juga berhasrat untuk memenuhi keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam industri bagi memacu ekonomi Malaysia. Walaubagaimanapun, menurut Meng et al. (2014), sasaran 60% kemasukan murid ke bidang sains dan 40% ke bidang sastera yang diletakkan oleh kerajaan semenjak tahun 1970an belum mencapai sasaran.

Dasar yang kedua ialah Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang telah diperkenalkan pada 1986 bagi menyokong pencapaian aspirasi Malaysia untuk menjadi negara maju. Penggunaan Sains dan Teknologi amat digalakkan sebagai satu alat kepada pembangunan ekonomi bagi meningkatkan kemudahan fizikal dan kesejahteraan rakyat. Dasar ini disemak semula pada tahun 2003 agar selari dengan keperluan negara mencapai hasrat Wawasan 2020. Wawasan 2020 (W2020) yang telah dilancarkan pada tahun 1991 merupakan sumber yang meyokong Pendidikan STEM dengan tujuan untuk meningkatkan Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020. Salah satu cabaran strategik dalam W2020 ialah mewujudkan masyarakat saintifik, berdaya saing, dinamik, dan bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik serta teknologi masa hadapan.

Dasar terakhir yang menyokong pelaksanaan pendidikan STEM ialah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM 2013-2025) iaitu merujuk kepada Malaysia Education Blueprint (2013).



Comments

Popular posts from this blog